Facebook

Masjid Puncak Alam

  • masjid-bandar-puncak-alam-c
  • masjid-bandar-puncak-alam-b
  • masjid-bandar-puncak-alam-a

Pemaju kompleks masjid ini adalah Puncak Alam Housing Sdn Bhd manakala arkiyeknya ialah Design Rekabina Sdn Bhd dan juruhias dalaman adalah Al-Ciptra Design Associates Sdn Bhd. Kerja-kerja pembinaan di tapak dimulakan pada 1 Julai 2011 dan akhirnya sewaktu solat Maghrib pada 20 Jun 2014, masjid berkenaan telah dibuka kepada orang ramai.

Reka bentuk dan binaan kompleks masjid ini menampilkan konsep Mediterranean moden yang unik dan menarik. Daripada jauh, kelihatan bangunan utama diapit oleh dua menara yang melambangkan kalimah syahadah. Bumbungnya yang berwarna biru pula menggambarkan kerendahan diri terhadap Pencipta sekalian alam semesta, Allah S.W.T.

Enam kubah kecil melambangkan rukun iman manakala lima sisi mihrab melambangkan rukun Islam. Motif Arabesque yang menjadi simbol seni bina Islam juga digunakan untuk menghiasi pintu gerbang dan kemasan kompleks masjid.

Antara kemudahan yang terdapat dalam kompleks tersebut adalah dewan sembahyang utama, dewan sembahyang terbuka, dewan serbaguna, pejabat pentadbiran dan dewan kuliah, tandas, tempat wuduk, tempat letak kereta dan motosikal.

Namun, ada beberapa kelebihan Masjid Puncak Alam berbanding masjid-masjid lain. Antaranya ialah ruang wuduk dan solat yang amat luas dan selesa, kemudahan mesra OKU seperti ramp untuk kerusi roda, kemasan tandas dan bilik mandi yang berkualiti serta reka bentuk dalaman yang tampil mewah dan bergaya.

Orang ramai juga boleh menyewa dewan masjid kompleks masjid ini untuk mengadakan pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, aqiqah, kesyukuran, bengkel dan sebagainya. Pelbagai pakej perkhidmatan catering juga disediakan mengikut citarasa dan bajet tertentu.

Antara warga kerja yang mengendalikan Masjid Puncak Alam adalah :

1. Ustaz Azuwad Adzhar bin Abu Samah (Imam I)

2. Ustaz Hafiz bin Alias (Imam II)

Kompleks masjid tersebut kini merupakan satu mercu tanda yang menjadi saksi pembangunan pesat di Bandar Puncak Alam.